Thursday, October 7, 2010

Ke arah membina dan mencapai impian - Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS


RAMLI menghisap rokok sejak berada di tingkatan dua. Kini bergelar mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi, beliau masih tetap dengan tabiat merokok. Namun kehidupan di kampus memerlukan kewangan yang bukan sedikit.
Ramli mula sedar akan pembaziran wang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk membeli rokok. Baru-baru ini harga rokok dinaikkan lagi, bermakna peruntukan kewangan untuk tabiat merokok semakin meningkat.
Ramli memang mempunyai impian untuk berhenti merokok. Dia menyedari merokok bukan sahaja membazirkan wangnya malah membahayakan kesihatan. Sejak dia di sekolah menengah, pelbagai cara telah dilakukannya untuk tujuan tersebut tetapi gagal.

Analisis
Setiap insan mempunyai impian. Begitu juga dengan remaja. Impian remaja mungkin bermakna cemerlang dalam pelajaran, kerjaya yang mendatangkan masa depan yang cerah, memiliki kenderaan sendiri hatta mengimpikan untuk berhenti merokok.
Memasang impian adalah ibarat gambaran kepada kejayaan yang bakal dimiliki. Dengan memasang impian, akal kita akan bergerak ke arah mencapai impian yang diingini.
Namun begitu, sebagai remaja Muslim, kita harus memastikan impian yang dibina selari dengan ajaran Islam. Cita-cita ke arah kebaikan amat dituntut di dalam Islam.
Amat penting jiwa remaja Muslim terarah kepada binaan diri, peribadi dan akhlak contoh ke arah hiburan yang merangsang nilai-nilai baik, keteguhan yang merintis daya juang yang tinggi supaya hiburan dan kelasakan dapat jadi pemangkin ke arah kekuatan bukannya keruntuhan, disiplin bukannya kekacauan dan kecelaruan.

Ke Arah Membina Dan Mencapai Impian
  • Membina impian yang bermatlamat. Remaja seharusnya mempunyai impian yang jelas dengan matlamat akhir (a dream with an end in mind). Membina impian tidak semestinya sesuatu yang kompleks, tetapi yang pentingnya mempunyai matlamat yang baik.
Matlamat akhir sesuatu impian bagi seorang remaja Muslim seharusnya mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan menyumbang kepada pembinaan diri dan masyarakat. Tanpa matlamat yang jelas, remaja tidak akan memahami akan makna impian tersebut dan mendorong kepada laluan yang tidak selari dengan agama dan etika masyarakat. Misalnya, di dalam kes Ramli, dia bercita-cita meninggalkan tabiat merokoknya, maka matlamat akhirnya bukan sahaja menjauhi larangan agama, malah dapat menjimatkan wang dan perbelanjaannya untuk kegunaan lain. Ini adalah contoh impian yang baik dan mempunyai matlamat akhir yang jelas.
  • Tekad dan Perancangan. Selain memasang impian, remaja juga harus mempunyai perancangan yang jelas dengan impian yang dicipta. Perancangan jangka dekat atau perancangan jangka panjang haruslah dikenal pasti. Meletakkan suatu sasaran haruslah realistik dan selari dengan usaha yang dilakukan supaya impian tercapai.
Mengharungi cabaran yang banyak di ketika ini, tidak mustahil sekiranya impian yang dibina tidak dapat dicapai sekiranya remaja tidak mempunyai perancangan yang tersusun dan asas keimanan yang kukuh.
Melaksanakan perancangan impian pula harus ada keazaman dan tekad yang teguh. Rajin meminta nasihat ibu bapa, guru, rakan-rakan serta orang-orang yang boleh membawa kita hampir kepada impian tersebut harus disemai agar usaha tidak lari dari impian asal.
  • Fokus. Menanamkan fokus terhadap impian yang dibina. Fokus kepada impian akan menjadikan impian yang dibina dan dirancang akan menjadi lebih terarah. Ramai remaja kini sudah hilang fokus dalam menempuh kehidupan.
Kemakmuran kebendaan yang ada disalahgunakan untuk terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang merosakkan. Hilangnya fokus ini bukan sahaja menyebabkan impian tidak tercapai, malah sebahagian remaja tidak menjadi aset kepada negara sebaliknya beban jangka panjang yang menyulitkan banyak pihak.
  • Konsisten (istiqamah). Remaja harus memiliki usaha yang berterusan. Banyak elemen malas, membuang masa, berlagak, melanggar peraturan dan undang-undang, menjadi "Pak Turut" terhadap sesuatu yang negatif serta tidak tahu dosa pahala dalam amalan dan perlakuan menghalang daripada mencapai impian yang bermakna.
Muhasabah selepas tercapainya impian harus sentiasa dilakukan untuk mempertingkatkan pencapaian yang sedia ada serta mendorong remaja bersikap reflektif tentang impian dan pencapaian yang dimiliki.
  • Berdoa dan bersabar. Senjata terbaik untuk mencapai impian adalah dengan berdoa. Maksud firman Allah: Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186). Doa dapat menguatkan pengharapan remaja bahawa impian yang dimiliki bakal dikabulkan Allah.
Melalui doa remaja dapat meluahkan segala rasa hati kepada Allah serta mengungkapkan segala impian yang ingin dicapai. Adakala impian tersebut mungkin nampak seakan-akan tidak mungkin dicapai.
Sebagai contoh Ramli di atas, pelbagai kaedah telah dicuba berasa sukar untuk meninggalkan tabiat merokok itu. Dalam situasi ini, remaja tersebut perlu terus berdoa untuk berhenti merokok walaupun impian tersebut seakan sukar dicapai pada ketika itu.
Suatu hari nanti mungkin dia akan mendapati secara tiba-tiba tabiat merokoknya itu amat mudah untuk ditinggalkan. Solat juga merupakan doa. Justeru remaja perlu menjaga solat. Solat menghubungkan remaja dengan pencipta. Melalui solat juga remaja mampu mendapat ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi kehidupan seharian.

Kesimpulan
Walau sebesar mana impian yang dimiliki, remaja harus memastikan impian yang dimiliki itu selari dengan matlamat hidup kita sebagai seorang Muslim. Remaja Muslim yang menjadikan Islam sebagai pedoman dan cara akan sentiasa melihat kepentingan akidah, ibadah, akhlak dan syarak sebagai pertimbangan terbaik memimpin diri ke arah mencapai impian dan kecemerlangan.
Seorang Muslim itu bukan sahaja bermatlamat untuk mencapai kebahagiaan di dunia malah yang lebih penting di akhirat. Namun sekiranya kita masih belum mencapai apa yang diimpikan, kita harus bersabar, terus berusaha dan berdoa serta sentiasa bersangka baik dengan Allah.
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Justeru kadangkala perkara yang kita miliki pada ketika ini adalah lebih baik untuk kita dan kita perlu bersikap reda atas segala kurniaan-Nya!

No comments:

Post a Comment