Thursday, September 16, 2010

JAUHI NIFAQ DALAM PERSAHABATAN

      Wahai sahabat-sahabat ingin saya berkongsi kepada semua tentang nilai persahabatan. Nikmat persahabatan yang kita pernah lalui suatu ketika dahulu dengan nikmat yang sedang kita lalui sekarang ini begitu berbeza. Persahabatan antara kita dengan rakan-rakan sekolah (rendah & menengah) dahulu adalah kebanyakannya didorong oleh naluri atau fitrah semulajadi. Namun sekarang ini saya rasakan ia lebih jauh dari itu, iaitu berhubung langsung dengan hal ehwal akhirat serta menentukan kita di akhirat adalah juga rakan karib yang tidak kunjung putus. Apatah lagi jika persahabatan itu diikat kuat dengan ikatan aqidah & perjuangan. Hanya orang merasai pentarbiahan akan ‘merasai’ manisnya.

     Sahabatku…dalam ruang lingkup persahabatan ini marilah kita sama-sama menelusuri akan akan nilai-nilai yang digariskan oleh Imam Ghazali. Sebenarnya Imam Ghazali seorang Ulama yang amat halus perasaannya dan begitu ‘concern’ serta sensitif dalam mengesan bisikan dan keluhan hati nurani. Dalam konteks persahabatan beliau membahagikannya kepada 4 tingkat:


1. Tingkat paling tinggi ialah kita mengutamakan sahabat lebih daripada kita sendiri.Berkorban apa sahaja semata-mata ingin menyenangkan sahabat.Boleh rujuk kisah perang Yarmuk.
2. Tingkat sederhana ialah kita mengutamakan sahabat sebagaimana kita mengutamakan diri kita sendiri.Apa sahaja kesenangan kita akan berkongsi dengan sahabat.Jika sahabat susah kita turut merasai kesusahannya dan begitulah sebaliknya.
3. Tingkat yang terendah ialah seperti kita melayani seorang hamba. Kita memberi lebihan apa yang kita tidak mahu kepada sahabat. Kita utamakan diri kita dahulu kemudian barulah sahabat2 muncul dalam benak fikiran. Bagi kita sahabat adalah insan nombor 2.
4. Darjat persahabatan yang paling buruk ialah kita tidak memenuhi sepenuhnya keperluan seorang sahabat.Jika sahabat meminta pertolongan,kita hanya buat ala kadar sahaja.Masalahnya, biarlah dia sendiri yang selesaikan. Inilah tingkat persahabatan yang paling ‘koman’.
     Selanjutnya Imam Ghazali menyorot lagi akan hati nurani orang yang bersahabat. Menurutnya dalam bersahabat kita seharusnya menjauhi diri daripada bersifat nifaq. Antara sifat nifaq itu ialah :

1. Berpura-pura lemah-lembut yakni bersifat kasih & sayang terhadap sahabatnya,yakni riak dalam persahabatan.
2. Berpura-pura rindu dan melahirkan kerinduan yang bersangatan. Padahal kerinduan itu tiada di dalam hatinya.
3. Bertanya khabar sahaja tetapi di dalam lubuk hatinya tiada terselit pun perasaan simpati dengan masalah yang sedang dihadapi oleh sahabatnya itu.
4. Menyembunyikan kebaikan sahabat. Seseorang yang mendapati sahabatnya melakukan kebaikan dan dia tidak menghebahkan atau menceritakan kepada orang lain, menurut Imam Ghazali orang ini mempunyai sifat dengki terhadap sahabatnya. Hal ini kerana Rasulullah menganjurkan kita menghebahkan kebaikan orang bukan keaibannya.
5. Pandai dan boleh bergaul dengan dua orang yang saling bermusuhan tanpa mencari jalan mendamaikan kedua-dua mereka. Sifat sedemikian itu menurut Imam Ghazali adalah sifat bermuka dua (talam dua muka).

Dalam memilih sahabat, Imam Ghazali memberi panduan bahawa jangan memilih sahabat-sahabat daripada orang-orang dungu, tidak berakhlak, fasiq, dan ahli bid’ah. Selain daripada itu sahabat-sahabatku, perkara utama yang dinasihatkan supaya jangan memilih orang yang suka membawa-bawa berita sebagai sahabat.

Perhatikanlah kata-kata Saidina Hassan ra perihal orang-orang sebegini :

“ Siapa yang datang kepadamu membawa berita atau kata-kata orang lain, maka jangan kamu lupa bahawa perkataan kamu juga nanti akan dibawa dan diceritakan juga pada orang lain”. Oleh itu berhati-hatilah.

Marilah kita hiasi persahabatan kita dengan akhlak mulia agar nilainya akan terus harum di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment